Sunday, 31 July 2011

JENIS-JENIS BASIKAL

 KATEGORI BASIKAL MTB

Bila mula-mula kita berkenalan dengan MTB, nampak saja basikal dengan ampaian depan, tayar lebar, berbagai gear, maka kita kita itulah MTB.  Bila dah lama sedikit berkecimpung, bentuk basikal yang kita jumpa makin pelbagai.  Kitapun pukul borong panggil semuanya MTB.  Tak salah, cuma tak berapa betul.  Jadi mari cuba mengenali jenis-jenis MTB.  Kita akan lihat dari 2 aspek.  Kategori kerangka dan disiplin tunggangan.


KATEGORI BASIKAL MTB MENGIKUT JENIS KERANGKA

Dari sudut kategori kerangka, MTB boleh dibahagikan kepada;

Kerangka Keras (Rigid Frame)


Sebuah MTB kerangka keras.  Perhatikan sepit udang hadapan yang keras tegar, tiada ampaian.

Dari namanya sudah boleh diagak yang basikal ini tidak mempunyai ampaian depan dan belakang.  Keras!  Ini kerangka-kerangka awal. Mutakhir ini, dengan penemuan logam dan bahan yang boleh melentur (flex) seperti gentian karbon dan titanium, sepit udang tegar kembali popular di kalangan mereka yang meminati kerangka keras.

Ekor Keras (Hard Tail) Yeeeaaaa...


Sebuah MTB ekor keras.  Perhatikan sepit udang hadapan jenis terampai.  Boleh melantun naik dan turun untuk menyerap hentakan

Basikal yang mempunyai ampaian depan sahaja.  Jarak ampaian bergantung kepada geometri kerangka dan disiplin tunggangan.  Bermula dari sependek 80mm sehingga 140mm.

Ampaian penuh (Full Suspension)


Kategori ini mempunyai ampaian depan dan belakang.  Kerangka dibahagi 2.  Kerangka depan dan belakang.  Kerangka belakang mempunyai satu sistem ampaian dan disambung dengan kerangka hadapan.  Kerangka belakang disambung dengan kerangka depan menggunakan sama ada satu pangsi (pivot) atau lebih dari satu pangsi.  Jarak ampaian ditentukan oleh geometri kerangka. 

Ekor Lembut (Soft Tail)


Perhatikan penyerap hentak comel pada sambungan kerangka pelana dengan tiub pelana.  Gambar 1 adalah ekor lembut dengan ampaian depan manakala gambar 2 adalah ekor lembut dengan sepit udang depan jenis keras.

Rekabentuk ekor lembut (aaauwwww...) ini unik.  Ia bagaikan kacukan di antara ekor keras dengan ampaian penuh.  Basikal ekor lembut mempunyai satu ampaian kecil pada bahagian kerangka pelana (seat stay) yang menyambungkan kerangka pelana dengan tiub pelana.  Tiada pangsi penyambung pada kerangka rantai (chain stay) dengan braket bawah.  Gerakan naik turun kerangka belakang ditentukan oleh tahap kelenturan bahan yang digunakan untuk membuat kerangka rantai.

*Jadi virus yang menyerang korang-korang tu bukan virus ekor lembut, tapi virus ampai penuh.  Faham?!!!    



JENIS MTB MENGIKUT DISIPLIN KAYUHAN

Bab ini meninjau kategori MTB mengikut jenis kayuhan yang dipengaruhi oleh bentuk mukabumi, bukan sang pengayuh.  Jangan la pulak terkeliru dengan disiplin yang dipilih oleh sang pengayuh.  Contoh mudah, kalau ada sorang pengayuh yang menggunakan basikal ekor keras untuk melungsur turun bukit, tidak menjadikan basikal itu sebuah basikal downhill.  Bukanlah bermakna basikal ekor keras tidak boleh digunakan untuk melungsur turun bukit, cuma kerangka itu mungkin tidak dapat bertahan siksaan menuruni bukit.  Boleh ikut?  Tak boleh?  Cuba soroti perenggan-perenggan seterusnya untuk lebih memahami.

Mari kita cuba tengok perhati jenis-jenis basikal yang sebenarnya banyak. Tapi, kita tumpukan pemerhatian kita kepada jenis-jenis yang biasa sajalah.

Merentas Desa (Cross Country - XC)

Basikal kategori ini direka berkisar kepada dua faktor utama - ringan dan kecekapan kayuhan.  Rekabentuknya biasanya mempunyai sudut tiub kepala dan tiub pelana yang curam untuk memaksa pengayuh membongkokkan badan ke depan waktu mengayuh.  Ampaiannya minima supaya setiap tenaga yang digunakan dihantar kepada tayar belakang untuk menggerakkan basikal dan tidak diserap oleh sistem ampaian.  Bahan yang biasa digunakan ialah aluminium, gentian karbon, campuran logam, titanium, kromoli dan sebagainya untuk mendapat kerangka seringan mungkin dengan kekuatan yang cukup untuk menanggung segala deraan dan siksaan kayuhan rentas desa.  Untuk penghantaran kuasa, basikal ini biasa dilengkapi dengan 3 gegancu hadapan dan 9 gegancu belakang dengan variasi nisbah gear yang besar untuk kilasan kayuhan vs jarak perjalanan.




Gambar 1 menunjukkan sebuah MTB ekor keras yang disetup untuk XC.  Gambar 2 menunjukkan sebuah MTB ampai penuh yang disetup untuk XC.

Tatarajah binaan basikal XC tipikal
Kerangka
<> 
ekor keras, ekor lembut atau ampai penuh
Geometri
<> 
tiub kepala 70, tiub pelana 73, tapak roda 43 inci
Berat
<> 
10kg - 13.5kg (20  -  30 paun)
Jarak ampaian
<> 
80mm  -  100mm (3in - 4in), depan dan/atau belakang
Jenis ampaian
<> 
redaman angin
Setup roda depan
<> 
Rim XC ringan 32 lubang
Setup roda belakang
<> 
Rim XC ringan 32 lubang
Saiz tayar
<> 
1.9 - 2.3
Brek
<> 
V  -  brek atau disc dengan cakera 6 inci
Saiz engkol
<> 
175mm - 180mm
Gegancu hadapan
<> 
3 keping 24  -  32  -  48
Gegancu belakang
<> 
9 keping 11  -  34T
Stem
<> 
70mm  -  130mm, 6 darjah
Hendal
<> 
23in - 25in panjang, lekuk 0 - 1.5in, 5 darjah ke belakang, 4 darjah ke atas


Semua Bukit (All Mountain - AM)

Bentuk kayuhan semua bukit merupakan kacukan di antara disiplin rentas desa dengan kayuh bebas (Free Ride).  Jenteranya direka untuk kecekapan kayuhan tetapi kerangkanya lebih berat dan tegap untuk menanggung deraan kayuhan teknikal ganas dan melibatkan sedikit sebanyak lompatan.  Basikal ini biasanya mempunyai jarak ampaian yang lebih panjang berbanding basikal XC.  Kerangkanya lebih berat kerana menggunakan tiub yang lebih tebal.  Juga ditokok dengan pesak (gusset) yang dipasang pada sambungan-sambungan kritikal, pada sambungan tiub atas dengan tiub kepala misalnya, untuk mengukuhkan lagi kerangka.  Untuk pindahan tenaga, mesin dilengkapi dengan 3 gegancu hadapan dan 9 gegancu belakang untuk memberikan banjaran gear yang luas.


Satu contoh basikal all mountain.  Ampaian depan terjulur bagai bersedia menyerap segala hentakan.  Ampaian belakang mempunyai "brain" dan boleh dikunci untuk mengelak alunan kayuhan bila mendaki.  Perhatikan bendalir kuning yang tergantung pada pokok.  Itu adalah teh-o-ais-limau sebagai bendalir peredam kehausan kepada penunggang.  Tiada kena mengena dengan setup basikal

Tatarajah sebuah basikal semua bukit tipikal
Kerangka
<> 
ampai penuh
Geometri
<> 
tiub kepala 68 drj, tiub pelana 73, tapak roda 45in
Berat
<> 
12.5kg - 16kg (28-35 paun)
Jarak ampaian
<> 
100mm -150mm (4in - 6in), depan dan/atau belakang
Jenis ampaian
<> 
redaman angin, ampaian gegelung
Setup roda depan
<> 
Rim serbaguna, 32 lubang, gelendong cepat lepas
Setup roda belakang
<> 
Rim serbaguna 32 lubang, gelendong kunci bol
Saiz tayar
<> 
26in, 2.25 - 2.5
Brek
<> 
cakera 6 inci depan belakang
Saiz engkol
<> 
175mm
Gegancu hadapan
<> 
3, 22t~46t
Gegancu belakang
<> 
9, 11t~ 34T
Stem
<> 
50mm  -  90mm, 6 darjah
Hendal
<> 
24in - 26in panjang, lekuk 0 - 1.5in, 5 darjah ke belakang, 4 darjah ke atas

Kayuh Bebas (Freeride (FR)

Kayuh Bebas?  Alamak!  Macam tak sedap saja bunyinya.  Nak tak nak terpaksa terima dulu buat masa ini.  DBP belum keluarkan terjemahan resmi lagi.  Hantam sajalah?

Basikal FR direka untuk menanggung deraan lompatan besar dan tunggangan teknikal yang ekstrem.  Mungkin termasuk dalam kategori basikal paling versatil dalam disiplin tunggangan ekstrem teknikal.  Ditambah dengan perkembangan dan kemajuan teknologi ampaian dan kerangka belakang, basikal FR mampu dikayuh untuk kerabat bukit (walau tidak sehebat basikal XC) dan boleh dikendalikan pada kelajuan rendah walaupun pada kedudukan pelana yang rendah.  Biasanya menggunakan hanya satu gegancu hadapan dengan 9 gegancu belakang.  Ini bertujuan memendekkan rantai yang akan mengurangkan tamparan rantai dan tersalah tukar gear.

Tatarajah sebuah FR yang tipikal.
Kerangka
<> 
ampai penuh
Geometri
<> 
tiub kepala 66 drj, tiub pelana 71, tapak roda 45.5in
Berat
<> 
14.5kg - 20kg (32-45 paun)
Jarak ampaian
<> 
+150mm (+ 6in), depan dan/atau belakang
Jenis ampaian
<> 
redaman angin, ampaian gegelung
Setup roda depan
<> 
Rim tugas berat, 36 lubang, gelendong 20mm
Setup roda belakang
<> 
Rim tugas berat, 36 lubang, gelendong 10mm kunci bol
Saiz tayar
<> 
26in, 2.5 - 2.7
Brek
<> 
hidrolik, cakera 8 inci depan belakang
Saiz engkol
<> 
170mm
Gegancu hadapan
<> 
tunggal, 32t~46t
Gegancu belakang
<> 
9, 12t~ 34T
Stem
<> 
30mm  -  70mm, 10 darjah
Hendal
<> 
24in - 27in panjang, lekuk atas 1.5?-2.5?, 9 darjah ke belakang, 4 darjah ke atas

Turun Bukit (Downhill ? DH)

Untuk melungsur dan meluncur turun bukit,  basikalnya mesti mampu menahan deraan tunggangan teknikal ekstrem pada kelajuan tinggi.  Biasanya dilengkapi ampaian sehingga 8 inci untuk meratah lompatan-lompatan tinggi, menerjun dari tebing-tebing curam dan taman-taman batu selagi mana si penunggang berani menerjah.  Tapak rodanya panjang dan pelana rendah untuk kestabilan, membuatkan ianya tidak sesuai untuk kayuh-kayuh santai pada denai-denai biasa.  Mendaki dengan jentera ini jauh sekali.  Biasanya di bawa naik ke puncak bukit dengan kenderaan lain ? trak, kereta kabel atau helikopter! Atau?Tolak la sendiri.

Tatarajah sebuah DH yang tipikal.
Kerangka
<> 
ampai penuh
Geometri
<> 
tiub kepala 64 drj, tiub pelana 65, tapak roda 47in
Berat
<> 
15.5kg - 27kg (35-60 paun)
Jarak ampaian
<> 
150mm - + 200mm(6in - + 8in), depan dan/atau belakang
Jenis ampaian
<> 
redaman minyak, ampaian gegelung
Setup roda depan
<> 
Rim DH, 36 lubang, gelendong 20mm
Setup roda belakang
<> 
Rim DH, 36 lubang, gelendong 10mm kunci bol
Saiz tayar
<> 
26in, 2.3 ? 3.0
Brek
<> 
hidrolik, cakera 8 inci depan belakang
Saiz engkol
<> 
170mm
Gegancu hadapan
<> 
tunggal, 32t~46t
Gegancu belakang
<> 
9, 12t~ 34T
Stem
<> 
30mm  -  70mm, 10 darjah
Hendal
<> 
26in - 28in panjang, lekuk atas 1.5?-2.5?, 9 darjah ke belakang, 4 darjah ke atas






No comments:

Post a Comment